Saturday, February 5, 2011

cerpen : Halusinasi

Halusinasi. Persepsi pancaindera tanpa sumber ransangan sensorik eksternal seperti mendengar bisikan dan melihat bayangan.

*****

          " Alhamdulillah. Ibu, Insyirah dapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas ."
          " Alhamdulillah." Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bersyukurnya Puan Hamidah apabila khabar gembira itu sampai di telinganya.
          " Tapi, kalau ibu tak mahu Insyirah pergi, tidak mengapa. Insyirah faham. Insyirah tak mahu ibu susah hati memikirkan cara untuk membayar kos pembiayaan Insyirah di sana nanti."
          Keputusan Insyirah bergantung sepenuhnya pada ibunya. Jika ibunya tidak mahu dia menerima tawaran tersebut, dia tidak akan sekali-kali membantah.
          " Usah kau risau, nak. Insya-Allah tiada masalah. Ibu ada sedikit simpanan. Yang selebihnya kita boleh usahakan. Kau pergilah, nak. Capai cita-citamu."

          Hasratnya untuk memenuhi harapan ibunya itulah yang sentiasa mendorongnya berusaha tanpa jemu. Insyirah yang berasal daripada sebuah keluarga nelayan sentiasa berazam untuk mengubah nasib keluarganya. Setelah kematian bapanya, ibu Insyirah menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan menjual ikan kering di samping mengambil upah membaiki jala. Dua orang adiknya masih lagi bersekolah. Kini, Insyirah sedang menuntut di UTP. Pengajiannya sudah pun memasuki semester akhir.

          Pada suatu pagi, apabila bangun dari tidur, Insyirah merasakan tubuhnya begitu berat. Dia tidak dapat bangkit dari katilnya. Jam loceng telah pun berbunyi. Setelah mematikan penggera jam, dia kembali terlelap. Beberapa minit kemudian, dia terdengar pintu biliknya dikuak. Rakannya, Amira melangkah masuk. Apabila Aina mengejutkannya, Insyirah cuba membuka matanya walaupun payah. Badannya panas. Aina hendak membawa Insyirah ke klinik tetapi ditegahnya. Beberapa biji ubat ditelannya. Kemudian, Insyirah terus merebahkan tubuh longlainya dan terus melelapkan mata.

          Sudah masuk empat hari, demamnya tidak juga kebah. malah badannya semakin panas dan lemah. Insyirah terpaksa dibawa ke hospital. Doktor mengesahkan bahawa sel-sel badannya telah dijangkiti kuman. Badannya tidak dapat menghasilkan antibodi yang diperlukan untuk menghapuskan kuman dan bakteria yang menjangkiti badannya. Oleh itu, Insyirah telah disuntik dengan vaksin. Vaksin yang disuntik ke dalam badan Insyirah merupakan mikroorganisma dan bakteria yang lemah ataupun yang telah mati. Suntikan vaksin tersebut akan dapat meransang sel darah putih dalam tubuh Insyirah untuk menghasilkan antibodi yang dapat melawan kuman dan bakteria yang menjangkitinya.

           Keesokan harinya, Insyirah mula sembuh. Namun, sejak dia jatuh sakit, dia tidak lagi cergas dan ceria seperti sebelumnya. Insyirah amat bersyukur kerana mempunyai kawan sebaik Aina. Sepanjang dia sakit, Aina sanggup menjaganya. Setiap hari, Aina bangun awal-awal pagi untuk memasakkan Insyirah sarapan yang kemudian dihantar ke biliknya. Sebelum menghadiri kuliah, Aina akan mengejutkan Insyirah dan mengingatkannya supaya makan ubat setelah bersarapan. Oleh sebab bimbang akan pelajaran Insyirah, Aina sanggup menyalinkan nota untuk Insyirah. Setiap perkara yang disampaikan pensyarah sewaktu kuliah akan diajarkan kepada Insyirah.

*****

           " Baiklah. Kita sambung pelajaran kita semalam...." Syarahan Prof. Zakiah semakin sayup-sayup didengar . Baru beberapa minit kuliah bermula. Mahasiswa-mahasiswa lain tekun mendengar dan memberikan sepenuh perhatian terhadap kuliah yang disampaikan. Insyirah tiba- tiba berada di sebuah ruangan yang dikelilingi dinding kaca yang tebal. Dia mencari pintu keluar, tetapi tidak ditemui.  Insyirah juga tidak dapat melihat dengan jelas keadaan di luar ruangan itu. Yang pasti, keadaan di luar lebih luas, indah dan penuh warna-warni. Namun, imej sebenar tidak dapat dilihatnya kerana dinding kaca yang terlalu tebal itu telah mengakibatkan pembiasan cahaya. Kelajuan cahaya berubah apabila melalui udara dan dinding kaca yang berlainan ketumpatannya. Semakin lama, dia merasa sesak di dalam ruangan itu. Insyirah cuba untuk mencari jalan keluar, tetapi gagal lagi. Tiba-tiba, tubuhnya seolah-olah digoncang. Namanya disebut-sebut.Kemudian, jelas di matanya Prof. Zakiah sedang melangkah keluar menunggalkan dewan kuliah.
            " Insyirah, kau baik-baik saja, kan?" Pertanyaan Aina mengejutkannya.
            Di manakah aku berada tadi? Hatinya tertanya-tanya.

*****

            Insyirah berjalan bersama-sama Aina ke kafeteria. Dia masih lagi memikirkan perkara yang berlaku atas dirinya sewaktu di dewan kuliah tadi. Semakin difikirkan, dia semakin tidak menemui jawapan. Oleh yang demikian, Insyirah memutuskan untuk tidak mengendahkannya.

*****

            Ketika dia berjalan pulang, perkara yang sama berlaku lagi kepadanya. Sewaktu melintas jalan, dia tiba-tiba hilang dari dunia nyata. Dia kemudian tersedar oleh bunyi hon yang sangat kuat. Kereta itu hampir-hampir sahaja melanggarnya. Farid yang terlihat kejadian itu terus berlari ke arah Insyirah. Dia memohon maaf kepada pemandu tersebut bagi pihak Insyirah. Insyirah yang masih terkejut diam seribu kata. Farid begitu bimbang akan keadaan Insyirah. Farid menemani Insyirah pulang.
          " Kau tak apa-apa, kan?" Pertanyaan Farid tidak didengar Insyirah. Dia tidak menjawab sebaliknya hanya berterima kasih dan terus berjalan pulang meninggalkan Farid. Keadaan Insyirah meninggalkan kerisauan di hati Farid.

*****

          Tanah di luar masih lembap. Rumput kelihatan segar. Cahaya matahari yang terpancar diserakkan oleh titisan air di udara. Pelangi yang terbentuk kelihatan seperti jambatan yang menyambungkan dua gunung nun jauh di selatan. Warna-warni pelangi menambahkan lagi warna di langit biru. Insyirah mengelamun panjang. Dia sendiri masih runsing memikirkan perkara yang telah menimpanya.

*****

          " Mungkin awak terlalu risau akan peperiksaan yang bakal awak hadapi. Halusinasi. Suatu persepsi pancaindera tanpa sumber ransangan sensorik eksternal seperti mendengar bisikan dan melihat bayangan," kata-kata Prof. Khadijah, pensyarah dalam bidang psikologi di universiti tersebut amat mengejutkannya.
          " Awak sepatutnya lebih tenang. Jangan terlalu tertekan. Saya rasa, berdasarkan keputusan awak yang lalu, awak tidak perlu terlalu risau."
          Setelah seminggu dia berulang-ulang kali mengalami kejadian yang sama, barulah dia pergi berjumpa Prof, Khadijah untuk bertanyakan hal tersebut.

*****

          " Ibu, tak lama lagi Insyirah akan menduduki peperiksaan. Ibu doakan kejayaan Insyirah, ya. Peperiksaan ini amat penting untuk menentukan masa depan kita sekeluarga." Tiba-tiba kepalanya pening. Rasa seperti mahu pitam, tetapi digagahkan juga. Tangannya kuat memegang gagang telefon.
          " Ibu akan sentiasa doakan kejayaan Insyirah. Insyirah sihat?"
          " Ya, ibu. Insyirah baik-baik sahaja," dengan rasa bersalah, Insyirah cuba menyembunyikan hal sebenar daripada pengetahuan ibunya. Dia tidak mahu ibunya susah hati.

*****

          Suatu hari, Insyirah tiba-tiba berhalusinasi  lagi. Dia seolah-olah berada di dunia yang sangat asing.. Kepalanya rasa berpusing-pusing. Ketika itu dia sedang menjalankan eksperimen. Serpihan rubidium di tangannya terjatuh ke dalam sebekas air. Tindak balas antara serpihan rubidium tersebut dengan air telah menghasilkan letupan. Mujurlah serpihan rubidium itu kecil sahaja. Insyirah dan Aina sempat mengelak.
          " Kenapa dengan engkau ni?" Aina bersuara dengan nada yang agak keras. Dia menyambung lagi, " Bila aku tanya, kau kata kau tak ada apa-apa!"
          " Aku tak tahu! Aku tak tahu!" Sambil menakupkan tangan di muka, Insyirah menitiskan air mata. " Aku tak tahu," suaranya tersekat-sekat kerana menahan tangisan. Aina yang rasa bersalah terus memeluk tubuh lemah Insyirah.

*****

          Peperiksaan semakin hampir. Insyirah cuba melawan penyakitnya. Dia cuba bertenang dalam menghadapi segala perkara untuk mengelakkan tekanan. Berkat kekuatannya, dia tidak lagi berhalusinasi. Insyirah juga sering berjumpa Prof. Khadijah untuk mendapatkan nasihat. Dorongan rakan-rakan serta tekad untuk mencapai cita-citanya memberikannya kekuatan untuk terus berusaha. Hampir seluruh masanya dipenuhi dengan ulang kaji. Sekali-sekala, Insyirah beriadah dengan kawan-kawannya supaya dia tidak terlalu memikirkan masalahnya.
          " Aku gembira kau dah kembali ceria seperti dahulu." Farid menemuinya pada suatu petang setelah mereka selesai beriadah. Ketika itu, Insyirah sedang duduk kerana keletihan selepas bermain hoki.
          " Alhamdulillah. Terima kasih kerana ambil berat tentang saya."
          " Tidak mengapa kerana awak istimewa di hati saya. Saya suka awak," balasan Farid amat mengejutkan Insyirah. Insyirah tahu dia tidak patut mengambil serius tentang perkara yang diperkatakan Farid. Insyirah tidak mahu menghampakan hasrat ibunya. Dia menganggap perkara yang berlaku sebagai dugaan dalam mencapai perkara yang diimpikan. Dugaan yang menimpanya dianggap sebagai pendorong semangatnya agar meningkatkan lagi usaha. Tiada apa-apa yag dapat menggoyahkan tekadnya itu. Matlamatnya hanya satu. Jasa ibunya harus dibalas. Nasib keluarganya perlu diubah.
          " Insyirah, jaga ibumu dengan sebaiknya, nak. Jangan pernah kau patahkan hatinya. Setiap harapan yang ditetapkannya harus kau laksanakan." Pesanan terakhir sebelum bapanya meninggalkan mereka tidak akan pernah luput dari ingatan Insyirah. Sebagai anak sulung dalam keluarga, dia bertanggungjawab memastikan adik-adiknya juga mendapat ilmu yang secukupnya untuk mencapai cita-cita mereka.
          Setelah kedua-dua mereka diam untuk beberapa ketika, Insyirah bersuara, " Maaf, Farid. Saya rasa awak sebenarnya keliru dengan perasaan awak. Awak mungkin hanya menyenangi saya sebagai kawan awak sahaja. Kita sama-sama ada matlamat, ada cita-cita. Itu lebih penting."
          Farid tiba-tiba tertawa kecil lalu berkata, " Apalah saya ni, kan? Maaf, saya tak patut cakap macam tadi." Kemudian, dia menyambung lagi, " Ibu awak sihat?"
           " Alhamdulillah, ibu saya sihat," ringkas jawapan Insyirah.
          " Awak sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan nanti?" Farid bertanya lagi.
          " Insya-Allah. Saya dah buat yang terbaik. Sekarang, saya hanya boleh bertawakal dan berserah kepada yang Maha Berkuasa."
          Perbualan mereka berlanjutan sehinggalah Insyirah meminta diri.

*****

          Hari demi hari silih berganti. Segala yang berlaku tetap sama, seperti telah disusun. Hampir seluruh masa Insyirah diluangkan dengan mengulang kaji pelajaran . Jadual belajar yang telah disusun sentiasa dipatuhi. Insyirah juga gemar belajar dalam kumpulan bersama kawan-kawannya termasuklah Aina dan Farid. Mereka sering menanyakan perkara-perkara yang tidak difahami antara satu sama lain. Sekiranya masih terdapat soalan yang tidak dapat diselesaikan, mereka akan bertanya kepada pensyarah. Mereka saling mengingatkan agar tidak leka dalam berusaha.

*****

           " Tahniah, Insyirah." Ucapan tahniah tidak putus-putus diterima Insyirah. Matlamatnya adalah untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya itu. Namun, tanpa disangka, keputusan yang diperolehnya merupakan keputusan yang terbaik di universitinya. Sebaik sahaja menerima keputusan tersebut, hanya ibunya yang terlintas di fikirannya. Tanpa melengahkan masa, Insyirah bergegas ke pondok telefon untuk menghubungi dan memaklumkan ibunya tentang kejayaannya.
           " Assalamualaikum. Ibu, apa khabar?" Insyirah terus bersuara sebaik sahaja ibunya menjawab panggilan telefonnya.
           " Waalaikumussalam. Khabar baik. Bagaimana keputusan peperiksaan kau, nak?"
          " Alhamdulillah. Ibu, Insyirah berjaya. Petang ini Insyirah akan pulang ke rumah. Insyirah tak sabar nak jumpa ibu. Ibu tunggu Insyirah, ya." Insyirah menyampaikan berita gembira kepada ibunya. Kemudian, dia meletakkan gagang telefon.
        
           Insyirah bergegas pulang ke biliknya untuk mengemas barang. Sebaik sahaja tiba di biliknya, Insyirah terus melakukan sujud syukur. Nikmat yang dikurniakan Allah sentiasa disyukurinya. Setelah selesai berkemas, Insyirah berjalan meninggalkan kampusnya. Dia bergegas ke stesen bas kerana tidak mahu ketinggalan bas. Ketika melintas jalan, tiba-tiba dia hilang dari dunia nyata. Penyakitnya menyerang lagi. Dalam lamunannya, ibunya mendakap erat tubuhnya sambil menitiskan air mata. Dia tersedar oleh bunyi hon yang begitu kuat. Sebuah lori sedang menuju ke arahnya. Lori itu sudah terlalu dekat. Insyirah tidak sempat mengelak. Dia tercampak ke bahu jalan. Kepalanya terhentak kuat di jalan. Darah mengalir deras di kepalanya. Beg-begnya yang dipenuhi baju dan buku juga terpelanting. Namun, slip keputusan peperiksaan yang berada dalam genggamannya tidak dilepaskan. Dia terus tidak sedarkan diri.

***
                
     Insyirah cuba membuka matanya perlahan-lahan. Wajah suci ibunya muncul di pandangan matanya. Ibu! Hatinya merintih. Insyirah terus mencapai slip keputusan yang diletakkan di sisi bantalnya. Slip itu diserahkan kepada ibunya. Puan Hamidah tidak dapat menahan air matanya. Puan Hamidah mencium dahi anaknya itu. Air mata Puan Hamidah menitis di wajah Insyirah. Insyirah menggenggam erat tangan ibunya.
            " Maafkan Insyirah, ibu," itulah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut Insyirah. Setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, Insyirah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan mudah, nyawanya dicabut daripada tubuh lemahnya itu. Ketenangan terpancar di wajahnya.
            " Terima kasih, nak. Kau dah tunaikan harapan ibu. Ibu amat menyayangimu, nak." Air mata terus mengalir di pipi Puan Hamidah. Namun, pemergian Insyirah diterimanya dengan penuh keredaan.

No comments:

Post a Comment