Saturday, February 5, 2011

cerpen : Halusinasi

Halusinasi. Persepsi pancaindera tanpa sumber ransangan sensorik eksternal seperti mendengar bisikan dan melihat bayangan.

*****

          " Alhamdulillah. Ibu, Insyirah dapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas ."
          " Alhamdulillah." Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bersyukurnya Puan Hamidah apabila khabar gembira itu sampai di telinganya.
          " Tapi, kalau ibu tak mahu Insyirah pergi, tidak mengapa. Insyirah faham. Insyirah tak mahu ibu susah hati memikirkan cara untuk membayar kos pembiayaan Insyirah di sana nanti."
          Keputusan Insyirah bergantung sepenuhnya pada ibunya. Jika ibunya tidak mahu dia menerima tawaran tersebut, dia tidak akan sekali-kali membantah.
          " Usah kau risau, nak. Insya-Allah tiada masalah. Ibu ada sedikit simpanan. Yang selebihnya kita boleh usahakan. Kau pergilah, nak. Capai cita-citamu."

          Hasratnya untuk memenuhi harapan ibunya itulah yang sentiasa mendorongnya berusaha tanpa jemu. Insyirah yang berasal daripada sebuah keluarga nelayan sentiasa berazam untuk mengubah nasib keluarganya. Setelah kematian bapanya, ibu Insyirah menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan menjual ikan kering di samping mengambil upah membaiki jala. Dua orang adiknya masih lagi bersekolah. Kini, Insyirah sedang menuntut di UTP. Pengajiannya sudah pun memasuki semester akhir.

          Pada suatu pagi, apabila bangun dari tidur, Insyirah merasakan tubuhnya begitu berat. Dia tidak dapat bangkit dari katilnya. Jam loceng telah pun berbunyi. Setelah mematikan penggera jam, dia kembali terlelap. Beberapa minit kemudian, dia terdengar pintu biliknya dikuak. Rakannya, Amira melangkah masuk. Apabila Aina mengejutkannya, Insyirah cuba membuka matanya walaupun payah. Badannya panas. Aina hendak membawa Insyirah ke klinik tetapi ditegahnya. Beberapa biji ubat ditelannya. Kemudian, Insyirah terus merebahkan tubuh longlainya dan terus melelapkan mata.

          Sudah masuk empat hari, demamnya tidak juga kebah. malah badannya semakin panas dan lemah. Insyirah terpaksa dibawa ke hospital. Doktor mengesahkan bahawa sel-sel badannya telah dijangkiti kuman. Badannya tidak dapat menghasilkan antibodi yang diperlukan untuk menghapuskan kuman dan bakteria yang menjangkiti badannya. Oleh itu, Insyirah telah disuntik dengan vaksin. Vaksin yang disuntik ke dalam badan Insyirah merupakan mikroorganisma dan bakteria yang lemah ataupun yang telah mati. Suntikan vaksin tersebut akan dapat meransang sel darah putih dalam tubuh Insyirah untuk menghasilkan antibodi yang dapat melawan kuman dan bakteria yang menjangkitinya.

           Keesokan harinya, Insyirah mula sembuh. Namun, sejak dia jatuh sakit, dia tidak lagi cergas dan ceria seperti sebelumnya. Insyirah amat bersyukur kerana mempunyai kawan sebaik Aina. Sepanjang dia sakit, Aina sanggup menjaganya. Setiap hari, Aina bangun awal-awal pagi untuk memasakkan Insyirah sarapan yang kemudian dihantar ke biliknya. Sebelum menghadiri kuliah, Aina akan mengejutkan Insyirah dan mengingatkannya supaya makan ubat setelah bersarapan. Oleh sebab bimbang akan pelajaran Insyirah, Aina sanggup menyalinkan nota untuk Insyirah. Setiap perkara yang disampaikan pensyarah sewaktu kuliah akan diajarkan kepada Insyirah.

*****

           " Baiklah. Kita sambung pelajaran kita semalam...." Syarahan Prof. Zakiah semakin sayup-sayup didengar . Baru beberapa minit kuliah bermula. Mahasiswa-mahasiswa lain tekun mendengar dan memberikan sepenuh perhatian terhadap kuliah yang disampaikan. Insyirah tiba- tiba berada di sebuah ruangan yang dikelilingi dinding kaca yang tebal. Dia mencari pintu keluar, tetapi tidak ditemui.  Insyirah juga tidak dapat melihat dengan jelas keadaan di luar ruangan itu. Yang pasti, keadaan di luar lebih luas, indah dan penuh warna-warni. Namun, imej sebenar tidak dapat dilihatnya kerana dinding kaca yang terlalu tebal itu telah mengakibatkan pembiasan cahaya. Kelajuan cahaya berubah apabila melalui udara dan dinding kaca yang berlainan ketumpatannya. Semakin lama, dia merasa sesak di dalam ruangan itu. Insyirah cuba untuk mencari jalan keluar, tetapi gagal lagi. Tiba-tiba, tubuhnya seolah-olah digoncang. Namanya disebut-sebut.Kemudian, jelas di matanya Prof. Zakiah sedang melangkah keluar menunggalkan dewan kuliah.
            " Insyirah, kau baik-baik saja, kan?" Pertanyaan Aina mengejutkannya.
            Di manakah aku berada tadi? Hatinya tertanya-tanya.

*****

            Insyirah berjalan bersama-sama Aina ke kafeteria. Dia masih lagi memikirkan perkara yang berlaku atas dirinya sewaktu di dewan kuliah tadi. Semakin difikirkan, dia semakin tidak menemui jawapan. Oleh yang demikian, Insyirah memutuskan untuk tidak mengendahkannya.

*****

            Ketika dia berjalan pulang, perkara yang sama berlaku lagi kepadanya. Sewaktu melintas jalan, dia tiba-tiba hilang dari dunia nyata. Dia kemudian tersedar oleh bunyi hon yang sangat kuat. Kereta itu hampir-hampir sahaja melanggarnya. Farid yang terlihat kejadian itu terus berlari ke arah Insyirah. Dia memohon maaf kepada pemandu tersebut bagi pihak Insyirah. Insyirah yang masih terkejut diam seribu kata. Farid begitu bimbang akan keadaan Insyirah. Farid menemani Insyirah pulang.
          " Kau tak apa-apa, kan?" Pertanyaan Farid tidak didengar Insyirah. Dia tidak menjawab sebaliknya hanya berterima kasih dan terus berjalan pulang meninggalkan Farid. Keadaan Insyirah meninggalkan kerisauan di hati Farid.

*****

          Tanah di luar masih lembap. Rumput kelihatan segar. Cahaya matahari yang terpancar diserakkan oleh titisan air di udara. Pelangi yang terbentuk kelihatan seperti jambatan yang menyambungkan dua gunung nun jauh di selatan. Warna-warni pelangi menambahkan lagi warna di langit biru. Insyirah mengelamun panjang. Dia sendiri masih runsing memikirkan perkara yang telah menimpanya.

*****

          " Mungkin awak terlalu risau akan peperiksaan yang bakal awak hadapi. Halusinasi. Suatu persepsi pancaindera tanpa sumber ransangan sensorik eksternal seperti mendengar bisikan dan melihat bayangan," kata-kata Prof. Khadijah, pensyarah dalam bidang psikologi di universiti tersebut amat mengejutkannya.
          " Awak sepatutnya lebih tenang. Jangan terlalu tertekan. Saya rasa, berdasarkan keputusan awak yang lalu, awak tidak perlu terlalu risau."
          Setelah seminggu dia berulang-ulang kali mengalami kejadian yang sama, barulah dia pergi berjumpa Prof, Khadijah untuk bertanyakan hal tersebut.

*****

          " Ibu, tak lama lagi Insyirah akan menduduki peperiksaan. Ibu doakan kejayaan Insyirah, ya. Peperiksaan ini amat penting untuk menentukan masa depan kita sekeluarga." Tiba-tiba kepalanya pening. Rasa seperti mahu pitam, tetapi digagahkan juga. Tangannya kuat memegang gagang telefon.
          " Ibu akan sentiasa doakan kejayaan Insyirah. Insyirah sihat?"
          " Ya, ibu. Insyirah baik-baik sahaja," dengan rasa bersalah, Insyirah cuba menyembunyikan hal sebenar daripada pengetahuan ibunya. Dia tidak mahu ibunya susah hati.

*****

          Suatu hari, Insyirah tiba-tiba berhalusinasi  lagi. Dia seolah-olah berada di dunia yang sangat asing.. Kepalanya rasa berpusing-pusing. Ketika itu dia sedang menjalankan eksperimen. Serpihan rubidium di tangannya terjatuh ke dalam sebekas air. Tindak balas antara serpihan rubidium tersebut dengan air telah menghasilkan letupan. Mujurlah serpihan rubidium itu kecil sahaja. Insyirah dan Aina sempat mengelak.
          " Kenapa dengan engkau ni?" Aina bersuara dengan nada yang agak keras. Dia menyambung lagi, " Bila aku tanya, kau kata kau tak ada apa-apa!"
          " Aku tak tahu! Aku tak tahu!" Sambil menakupkan tangan di muka, Insyirah menitiskan air mata. " Aku tak tahu," suaranya tersekat-sekat kerana menahan tangisan. Aina yang rasa bersalah terus memeluk tubuh lemah Insyirah.

*****

          Peperiksaan semakin hampir. Insyirah cuba melawan penyakitnya. Dia cuba bertenang dalam menghadapi segala perkara untuk mengelakkan tekanan. Berkat kekuatannya, dia tidak lagi berhalusinasi. Insyirah juga sering berjumpa Prof. Khadijah untuk mendapatkan nasihat. Dorongan rakan-rakan serta tekad untuk mencapai cita-citanya memberikannya kekuatan untuk terus berusaha. Hampir seluruh masanya dipenuhi dengan ulang kaji. Sekali-sekala, Insyirah beriadah dengan kawan-kawannya supaya dia tidak terlalu memikirkan masalahnya.
          " Aku gembira kau dah kembali ceria seperti dahulu." Farid menemuinya pada suatu petang setelah mereka selesai beriadah. Ketika itu, Insyirah sedang duduk kerana keletihan selepas bermain hoki.
          " Alhamdulillah. Terima kasih kerana ambil berat tentang saya."
          " Tidak mengapa kerana awak istimewa di hati saya. Saya suka awak," balasan Farid amat mengejutkan Insyirah. Insyirah tahu dia tidak patut mengambil serius tentang perkara yang diperkatakan Farid. Insyirah tidak mahu menghampakan hasrat ibunya. Dia menganggap perkara yang berlaku sebagai dugaan dalam mencapai perkara yang diimpikan. Dugaan yang menimpanya dianggap sebagai pendorong semangatnya agar meningkatkan lagi usaha. Tiada apa-apa yag dapat menggoyahkan tekadnya itu. Matlamatnya hanya satu. Jasa ibunya harus dibalas. Nasib keluarganya perlu diubah.
          " Insyirah, jaga ibumu dengan sebaiknya, nak. Jangan pernah kau patahkan hatinya. Setiap harapan yang ditetapkannya harus kau laksanakan." Pesanan terakhir sebelum bapanya meninggalkan mereka tidak akan pernah luput dari ingatan Insyirah. Sebagai anak sulung dalam keluarga, dia bertanggungjawab memastikan adik-adiknya juga mendapat ilmu yang secukupnya untuk mencapai cita-cita mereka.
          Setelah kedua-dua mereka diam untuk beberapa ketika, Insyirah bersuara, " Maaf, Farid. Saya rasa awak sebenarnya keliru dengan perasaan awak. Awak mungkin hanya menyenangi saya sebagai kawan awak sahaja. Kita sama-sama ada matlamat, ada cita-cita. Itu lebih penting."
          Farid tiba-tiba tertawa kecil lalu berkata, " Apalah saya ni, kan? Maaf, saya tak patut cakap macam tadi." Kemudian, dia menyambung lagi, " Ibu awak sihat?"
           " Alhamdulillah, ibu saya sihat," ringkas jawapan Insyirah.
          " Awak sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan nanti?" Farid bertanya lagi.
          " Insya-Allah. Saya dah buat yang terbaik. Sekarang, saya hanya boleh bertawakal dan berserah kepada yang Maha Berkuasa."
          Perbualan mereka berlanjutan sehinggalah Insyirah meminta diri.

*****

          Hari demi hari silih berganti. Segala yang berlaku tetap sama, seperti telah disusun. Hampir seluruh masa Insyirah diluangkan dengan mengulang kaji pelajaran . Jadual belajar yang telah disusun sentiasa dipatuhi. Insyirah juga gemar belajar dalam kumpulan bersama kawan-kawannya termasuklah Aina dan Farid. Mereka sering menanyakan perkara-perkara yang tidak difahami antara satu sama lain. Sekiranya masih terdapat soalan yang tidak dapat diselesaikan, mereka akan bertanya kepada pensyarah. Mereka saling mengingatkan agar tidak leka dalam berusaha.

*****

           " Tahniah, Insyirah." Ucapan tahniah tidak putus-putus diterima Insyirah. Matlamatnya adalah untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya itu. Namun, tanpa disangka, keputusan yang diperolehnya merupakan keputusan yang terbaik di universitinya. Sebaik sahaja menerima keputusan tersebut, hanya ibunya yang terlintas di fikirannya. Tanpa melengahkan masa, Insyirah bergegas ke pondok telefon untuk menghubungi dan memaklumkan ibunya tentang kejayaannya.
           " Assalamualaikum. Ibu, apa khabar?" Insyirah terus bersuara sebaik sahaja ibunya menjawab panggilan telefonnya.
           " Waalaikumussalam. Khabar baik. Bagaimana keputusan peperiksaan kau, nak?"
          " Alhamdulillah. Ibu, Insyirah berjaya. Petang ini Insyirah akan pulang ke rumah. Insyirah tak sabar nak jumpa ibu. Ibu tunggu Insyirah, ya." Insyirah menyampaikan berita gembira kepada ibunya. Kemudian, dia meletakkan gagang telefon.
        
           Insyirah bergegas pulang ke biliknya untuk mengemas barang. Sebaik sahaja tiba di biliknya, Insyirah terus melakukan sujud syukur. Nikmat yang dikurniakan Allah sentiasa disyukurinya. Setelah selesai berkemas, Insyirah berjalan meninggalkan kampusnya. Dia bergegas ke stesen bas kerana tidak mahu ketinggalan bas. Ketika melintas jalan, tiba-tiba dia hilang dari dunia nyata. Penyakitnya menyerang lagi. Dalam lamunannya, ibunya mendakap erat tubuhnya sambil menitiskan air mata. Dia tersedar oleh bunyi hon yang begitu kuat. Sebuah lori sedang menuju ke arahnya. Lori itu sudah terlalu dekat. Insyirah tidak sempat mengelak. Dia tercampak ke bahu jalan. Kepalanya terhentak kuat di jalan. Darah mengalir deras di kepalanya. Beg-begnya yang dipenuhi baju dan buku juga terpelanting. Namun, slip keputusan peperiksaan yang berada dalam genggamannya tidak dilepaskan. Dia terus tidak sedarkan diri.

***
                
     Insyirah cuba membuka matanya perlahan-lahan. Wajah suci ibunya muncul di pandangan matanya. Ibu! Hatinya merintih. Insyirah terus mencapai slip keputusan yang diletakkan di sisi bantalnya. Slip itu diserahkan kepada ibunya. Puan Hamidah tidak dapat menahan air matanya. Puan Hamidah mencium dahi anaknya itu. Air mata Puan Hamidah menitis di wajah Insyirah. Insyirah menggenggam erat tangan ibunya.
            " Maafkan Insyirah, ibu," itulah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut Insyirah. Setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, Insyirah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan mudah, nyawanya dicabut daripada tubuh lemahnya itu. Ketenangan terpancar di wajahnya.
            " Terima kasih, nak. Kau dah tunaikan harapan ibu. Ibu amat menyayangimu, nak." Air mata terus mengalir di pipi Puan Hamidah. Namun, pemergian Insyirah diterimanya dengan penuh keredaan.

Sunday, December 26, 2010

siti nurhaliza-lagu budi bahasa budaya kita

LANGKAH MEMUPUK BUDAYA CEMERLANG



  1. didikan ibu bapa
    • ibu bapa ialah orang yang paling rapat dengan anak-anak. Ibu bapa sememangnya bertanggungjawab memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak bagi membentuk peribadi dan akhlak mereka. Bagi memupuk budaya yang cemerlang dalam diri anak-anak, ibu bapa juga harus memainkan peranan sejak mereka kecil lagi.

  1. didikan guru
·         Di sekolah, guru merupakan golongan pendidik yang sememangnya bertanggungjawab mendidik para pelajar. Dalam memupuk budaya hidup yang cemerlang ini juga, golongan guru terutamanya guru kaunseling harus memainkan peranan dengan memberikan nasihat.

  1. program motivasi (sekolah)
·         Pihak sekolah seharusnya bukan sahaja mengadakan motivasi bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar, tetapi juga haruslah diadakan lebih awal bagi memastikan para pelajar dapat mengamalkan budaya yang cemerlang. Dengan mengamalkan budaya cemerlang ini, para pelajar akan dapat mencapai kejayaan dengan lebih mudah.

  1. kempen kesedaran (kerajaan)
·         Pihak kerajaan boleh mengambil langkah dengan mengadakan kempen agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mengamalkan budaya yang cemerlang dalam kehidupan seharian.
Contoh:Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kelima, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi bertempat di Istana Budaya bertarikh 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari ini demi kesejahteraan masa depan. Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara (DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004.


  1. media massa
·         selain mengiklankan kempen kesedaran yang dianjurkan oleh kerajaan, media massa juga boleh memainkan peranan dengan menyiarkan iklan-iklan dan lagu-lagu yang menekankan kepentingan amalan budaya cemerlang dalam hidup.
Contoh:  Iklan agar menghormati dan saling membantu antara jiran tetangga.
-          Lagu Budi Bahasa Budaya Kita
Nyanyian Datuk Siti Nurhaliza

KEPENTINGAN MENGAMALKAN BUDAYA YANG CEMERLANG

Dalam melakukan kerja/ belajar
  1. kerja dapat disiapkan lebih awal
    • dengan mengamalkan budaya menepati masa dan tidak bertangguh, kerja-kerja dapat dilakukan lebih cepat.

  1. kejayaan dapat dicapai
·         usaha keras yang dilakukan tanpa putus asa dapat membantu seseorang mencapai kejayaan lebih-lebih lagi jika usaha yang dilakukan itu berpandukan matlamat yang telah ditetapkan.

  1. ilmu pengetahuan lebih luas
·         jika lebih banyak usaha yang dilakukan, lebih banyak perkara yang dapat kita ketahui terutamanya sekiranya kita rajin bertanya.

  1. menghasilkann kerja yang berkualiti.

Dalam pergaulan

  1. disenangi masyrakat sekeliling
    • sekiranya kita sentiasa berbudi bahasa dan menjaga tutur kata serta kelakuan, perasaan orang di sekeliling kita dapat dijaga.

  1. mendapat kepercayaan orang lain

      3. mudah mendapatkan bantuan ketika kesusahan
·         Apabila kita disenangi oleh masyarakat sekeliling terutama kaum kerabat dan jiran tetangga, mereka juga akan menjadi lebih prihatin terhadap kebajikan kita.

      4.perpaduan dapat diperkukuh
·         Dengan adanya amalan permuafakatan, perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat diperkukuh.

BUDAYA CEMERLANG

BUDAYA KERJA/ BELAJAR

  1. berani mencuba
    • “suatu kehidupan yang penuh kesalahan tidak hanya lebih berharga namun juga lebih berguna dibandingkan hidup tanpa melakukan apa pun.”-George Bernard Shaw
Kita haruslah berani terutamanya dalam mencuba sesuatu yang baru   walaupun perkara yang ingin kita lakukan mungkin salah. Sekiranya kita tidak mencuba, kita tidak akan mengetahui bahawa perkara tersebut adalah salah seteruanya kita tidak akan pernah belajar.

  1. mempunyai matlamat
    • “ Yang menentukan masa depan anda bukan kekayaan, kedudukan, dan kebahagian yang anda capai, tetapi ke arah mana akan anda bawa semua itu.”
Matlamat ialah perkara yang sangat penting dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Dengan menentukan matlamat, kita dapat menetapkan usaha ke arah yang kita mahukan.

  1. Jangan bertangguh
    • “ Jangan tinggalkan hingga esok apa yang boleh disiapkan hari ini.”
Dengan menyiapkan kerja secepatnya, masa lain yang terluang dapat dimanfaatkan dengan perkara yang berfaedah dandapat meningkatkan kecemerlangan diri.
Contoh: Seseorang pelajar yang menyiapkan kerja sekolahnya lebih awal dapat melakukan ulang kaji pada masa lain yang terluang.

  1. tekun berusaha
    • “ Genius adalah 1% inspirasi dan 99% keringat. Tidak ada yang dapat menggantikan kerja keras. Keberuntungan adalah sesuatu yang terjadi ketika kesempatan bertemu dengan kesiapan.”-Thomas A. Edison
    • “ Modal paling baik daripada seseorang ialah kerajinannya.”

  1. sentiasa berfikiran positif
    • “ Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemunduran.”

  1. belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya
    • “ Hanya ikan bodoh yang boleh dua kali kena pancing dengan umpan yang sama.”-Thomas Fuller



  1. berfikir sebelum melakukan pekerjaan
    • “ Berfikir sebelum berbuat adalah satu kebijaksanaan, berfikir selepas berbuat adalah satu kebodohan, berbuat tanpa berfikir adalah seribu kebodohan.”

  1. berdisiplin
*mengetahui kepentingan dan mengutamakan yang lebih penting
    • “ Pentingkan yang lebih penting kerana yang lebih penting itu lebih penting daripada yang penting.”

  1. rajin bertanya
    • “ Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir.”
 BUDAYA DALAM PERGAULAN

  1. berbudi bahasa
    • “ Budi bahasa adalah keprihatinan terhadap perasaan orang lain. Jika kita mempunyai keprihatinan tersebut, kita mempunyai budi pekerti mulia.”     -Emely Post

  1. mudah memberi maaf
·         “ Orang yang tidak boleh memaafkan orang lain sama saja dengan orang yang memutuskan jambatan yang harus dilaluinya, kerana semua orang perlu dimaafkan.”-Thomas Fuller
·         Ada dua hal yang harus anda lupakan: kebaikan yang anda lakukan kepada orang lain, dan kesalahan orang lain kepada anda.”-Sai Baba

  1. ketepikan ego
·         “ Nyahkanlah ego kecilmu, maka anda akan menjadi agung.”-Guru Ching Hai
·         “ Adalah lebih baik untuk mengetahui kelemahan dan kegagalan sendiri daripada menuding kesalahan kepada orang lain.”

  1. bermuafakat
‘Muafakat  Membawa Berkat.’
Itulah slogan yang harus dipegang oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum . Dengan adanya amalan muafakat sesame manusia, akan mengeratkan lagi perpaduan yang telah lama terjalin.

  1. tiada perasaan curiga / syak wasangka
Kaunseling Remaja-Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon(Harian Metro)
Berprasangka buruk biasanya membuatkan individu sentiasa menganggap orang lain mempunyai agenda buruk tersendiri. Dari sudut psikologinya, individu itu sudah membina satu persepsi atau andaian bahawa orang di sekelilingyna tidak mempunyai potensi diri yang positif.
            Ini seterusnya boleh menyebabkan individu menghadapim kesukaran berkomunikasi dan juga kemahiran membina hubungan  kerana pemikiran negative sudah terbina.Perkara yang boleh dilakukan ialah orientasi semula pemikiran dengan mengatakan bahawa setiap orang mempunyai kekuatan dan kekurangan diri.
            Dalam Islam, buruk sangka sangat dilarang. Allah s.w.t. berfirman, “ Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…” (Al-Hujuraat:12)
                        Membuat intropeksi dan muhasabah diri dapat mengurangkan sikap ini. Khalifah Umar bin Khatab menyatakan, “ Janganlah kamu menyangka dengan satu katapun yang keluar daripada seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mempunyai kebaikan.

PENGENALAN

Kecemerlangan merupakan satu matlamat yang diimpikan bukan sahaja oleh seseorang individu tetapi juga sesebuah organisasi yang berwawasan. Bagi mencapai kecemerlangan, budaya yang diamalkan juga haruslah cemerlang.